Suhaimi menunjukkan tiga haruman Bliesematic yang dijual di pasaran 23 Disember 2019.
SUHARNE ZAINUDIN
BLIESEMATIC berjaya dijual sebanyak 30,000 unit dalam tempoh hanya 14 hari sejak produk wangian penyegar udara isian semula automatik itu memasuki pasaran pada 23 Disember 2019.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Bliese, Suhaimi Saiful memberi-tahu, Bliesematic ialah produk wangian penyegar udara terbaharu keluaran Bliese yang didatangkan dengan tiga haruman iaitu vanilla bouquet, fairy breezy dan tropical spa.
“Bliesematic ialah produk keluaran perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumi-putera Melayu dan ia merupakan produk semburan wangian penyegar udara isian semula automatik yang pertama keluaran Malaysia.
“Sambutan pasaran terhadap produk ini amat memberangsangkan. Kami optimis dalam tempoh enam bulan akan datang Bliese bakal melakukan inovasi terhadap Bliesematic,” katanya kepada Bisnes Sinar.
Suhaimi berkata, Bliesematic dipasarkan menerusi sistem ejen dan memiliki seramai 30 orang master stokis, 406 stokis dan hampir 2,000 ejen di seluruh negara.
“Dalam tempoh terdekat kami menyasarkan seramai 50 master stokis menyertai Bliese dan syarikat sedang fokus ke arah tersebut,” katanya.
Tidak setakat dipasarkan di dalam pasaran tempatan, Suhaimi berkata, Bliesematic turut berjaya menembusi pasaran Singapura, Filipina dan Brunei.
“Insya-ALLAH produk ini akan masuk pasaran Amerika Syarikat (AS) pada Februari 2020,” katanya.
Suhaimi berkata, keistimewaan Bliesematic ialah isian semulanya mengandungi 300 milimeter (ml) tidak seperti jenama lain dalam pasaran yang rata-rata mempunyai kandungan isian semula antara 250 sehingga 269ml.
“Dispenser Bliesematic didatangkan dengan warna unik iaitu hijau turquoise serta mempunyai dua penetapan masa iaitu 15 minit dan 30 minit.
“Bagi penetapan masa 15 minit, semburan Bliesematic mampu bertahan sehingga 32 hari sementara 64 hari bagi penetapan masa 30 minit dan semburan harumannya mampu meliputi kawasan seluas 15 meter persegi,” katanya.